|
But wait a minute...
Menyambut Hari Raya
Syawal yang dinanti…
Syawal datang lagi. Setiap kali Syawal, segala tertumpu ke arah persiapan meraikan hari yang amat bermakna ini. Seikhlasnya, jika ada yang bertanya pada peringkat dan usia mana, hari raya diraikan dengan perasaan yang amat seronok adalah pada zaman kanak-kanak saya di antara usia 7 ke 12 tahun. Ketika itu, tiada tugasan yang perlu dilakukan. Hari raya bererti hari untuk bergembira, makan dan minum sepuasnya dan yang paling menyeronokkan adalah apabila mendapat duit raya. Tetapi kini, setelah menjadi ibu dan pada peringkat usia yang matang, segala-galanya telah berubah mengikut arus masa dan kehidupan.
Sebulan menjelangnya raya, perkara wajib yang perlu dilaksanakan adalah persiapan baju raya. Tiada baju yang lebih bermakna selain dari baju kurung dan baju melayu. Tempahan perlu dibuat seawal 2 bulan sebelum menjelangnya raya. Tanpa baju raya di pagi Syawal yang hening dan damai, raya tiada makna. Seolah-olah tiada semangat untuk menyambutnya. Tanpa baju raya, jiwa menjadi sepi. Gabungan fizikal dan nurani adalah penentu agar raya menjadi lebih bermakna.
Persiapan perabut, kain langsir untuk keperluan rumah hanya secara ala kadar sahaja. Peralatan ini jarang sekali diganti, mungkin 3 atau 4 tahun sekali barulah berganti. Bagi saya, membersihkan kawasan dalam dan luar rumah bersama-sama anak-anak saya. Inilah masanya kami menghargai satu sama lain bekerja secara berkumpulan.
Seminggu pula menjelang raya, tanah perkuburan adalah destinasi yang juga bermakna bagi saya dan anak-anak. Kami akan membersihkan pusara ibu, ayah dan abang-abang. Kami akan memastikan tanah perkuburan ini bersih apabila dikunjungi oleh abang-abang dan kakak-kakak saya yang lain di awal pagi Syawal nanti.
Dua hari sebelum Syawal, saya dan Kak Nooraini mula sibuk untuk menyediakan peralatan untuk membuat masakan wajib kami di pagi syawal iaitu rendang ayam, rendang daging, nasi impit, kuah kacang dan lontong. Ketupat, dodol dan lemang hanya dibeli dari rakan-rakan arwah ibu dan ayah. Biskut dan kek pula cuma sekadar dibeli dari teman-teman rapat kakak.
Walau bagaimana hebat persiapan-persiapan ini, sambutan Syawal dan suasananya telah banyak berubah. Semenjak kematian ibu dan ayah kami 20 puluh tahun yang lalu, tiada lagi kunjungan dari makcik dan pakcik kami dan juga teman-teman rapat ibu dan ayah. Ketiadaan ibu bapa kami, Syawal menjadi sunyi. Nasib kami dikira beruntung juga dengan adanya 6 kakak, 3 abang dan 38 orang anak saudara yang telah banyak merubah sambutan hari raya tahun demi tahun. Kini, Syawal kami tidak lagi memerlukan kunjungan makcik dan pakcik. Kami bahagia seadanya. Kami akan berkumpul sehari sebelum Syawal di rumah pusaka ibu dan ayah di Gombak. Sudah tentu yang paling gembira adalah anak-anak saudara kami.
Setiap kegembiraan itu ada terselit kesedihan. Ianya jelas terpancar apabila kakak dan abang yang telah berumahtangga menyambut Syawal lengkap dengan ahli keluarga dan pasangan masing-masing. Perasaan sedih ini telah sebati dalam diri saya. Yang pasti, kesedihan amat dirasai dari pancaran mata anak-anak kerana sambutan Syawal telah berulang kali tanpa papa disisi mereka.
Setiap ahli keluarga kami ada ruang di hati mereka mengharapkan agar Syawal di zaman 60an, 70an dan 80an berulang kembali. Pada kami, kehadiran ibu bapa menyatukan banyak hati……
|