|
But wait a minute...
Masa Penentu Segala
Ramadan bakal menjelma lagi, sekaligus mengimbas kembali saat-saat manis ketika berusia 7 tahun. Pengalaman diajar ibu untuk berpuasa tidak mungkin luput dari ingatan. Namun kini, giliran saya menjadi ibu, mengajar anak-anak berpuasa. Cukup mencabar!
Mengimbas kembali kisah silam…
Kami dari keluarga susah. Kehidupan kami, seumpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Bayangkan seawal jam 2 pagi, ibu bangun untuk menyiapkan makanan bersahur yang ala kadar sahaja. Waktu itu, semuanya disiapkan secara manual. Tidak ada satu pun peralatan elektrik - cili untuk dibuat sambal terpaksa ditumbuk atau digiling, dapur kayu arang harus disediakan untuk memasak. Nasi putih berlaukkan sambal dan sayur rebus adalah makanan utama kami. Inilah makanan rutin kami 12 beradik sepanjang bulan Ramadan!
Belum lagi bab ibu mengejutkan kami dari tidur; terpaksa dicurahkan air ke muka barulah boleh bangun. Perkara yang sama berlaku setiap pagi. Walaupun begitu, kami adik beradik akan duduk dan terlelap disepanjang tangga kayu, sehinggalah makanan siap terhidang. Sebagai anak bongsu, saya bertuah kerana tidak perlu menolong menyediakan makanan. Ibu akan memberi perhatian yang lebih kepada saya kerana ibu ingin menggalakkan saya untuk berpuasa. Bermula dengan puasa setengah hari kemudian, perlahan-perlahan sehinggalah penuh sehari. Begitulah bagaimana kebanyakan kami mula berpuasa. Menurut ibu, biar perlahan.
Di meja makan ibu akan memastikan kami membaca doa makan dan memasang niat puasa. Begitulah setiap hari. Penyediaan untuk menyiapkan, walaupun makanan yang ala kadar, terasa terlalu lama. Saya tidak sabar untuk tidur semula. Di waktu itu, tidur lebih penting daripada segalanya!
Tetapi ibu tetap menekankan, bangun sahur bukan kerana makan sahaja, tetapi ianya adalah perbuatan sunat untuk melengkapkan proses puasa seseorang individu agar lebih berkat. Di waktu itu, ibu tidak banyak berkomunikasi untuk menjelaskan secara terperinci tentang amalan berpuasa yang dituntut oleh agama Islam. Ini kerana kehidupan seharian ibu amat padat membesarkan kami seramai 12 orang. Ibu pula tidak ada masa untuk mendengar radio apatah lagi untuk membaca.
Kini, setelah bergelar ibu, saya telah merubah segala amalan ibu semasa bulan puasa. Saya akan menjelaskan secara terperinci mengenai tuntutan amalan berpuasa. Saya tidak mahu anak-anak, hanya menurut tanpa mengetahui rasional sebenar mengapa umat Islam wajib puasa. Sekiranya kurang penjelasan, disinilah anak-anak kita mula membohongi ibubapa apabila berpuasa. Saya masih ingat lagi dizaman kanak-kanak kami dahulu kami sering menyanyikan lagu ini "puasa yang yok pagi-pagi buka periuk" sekiranya didapati ada diantara adik-beradik kami yang minum atau makan, di siang hari.
Saya juga tidak akan menyediakan makanan berat seperti nasi dan lauk pauk. Masa dan tidur yang berkualiti menjadi agenda utama kami. Kesihatan kami juga turut diberi perhatian. Cara pemakanan dizaman kanak-kanak adalah ditentukan oleh ibubapa mereka sendiri. Saya hanya akan menyediakan makanan bijirin berkhasiat bersama susu, roti dimakan bersama ikan tuna dan keju, sosej bersama baked beans. Yang paling utama saya akan memastikan anak-anak saya makan kurma semasa berbuka puasa dan bersahur. Saya mengajar mereka dengan minum minuman tanpa ais, iaitu soya cincau yang disejukkan didalam peti sejuk kira-kira 2 jam sebelum berbuka puasa. Saya masih ingat semasa dizaman kanak-kanak, minuman berais merupakan minuman wajib kami semasa berbuka puasa. Dan pada waktu malam selepas berbuka puasa, kami adik beradik tidak mampu untuk berbuat apa-apa kerana badan akan menjadi lemah akibat minuman berais!
Walau generasi silih berganti, berpuasa adalah perkara wajib, hanya amalan dan cara bersahur berbeza mengikut perubahan teknologi dan tuntutan hidup semasa. Sekiranya rangka rujukan yang diterapkan betul, maka saya tidak faham kenapa ramai yang masih lagi merasa kurang selesa menjelangnya Ramadan. Ibu adalah insan yang membentuk saya untuk menyintai amalan berpuasa. Amalan ini saya lakukan setiap masa walau di luar bulan Ramadan, terutamanya bulan Rejab yang mulia.
Perubahan didalam kehidupan tidak dapat dijangka sama sekali. Pengalaman berumahtangga bermula pada tahun 1989 dan buat kesekian kalinya mendapat gelaran ibu pada tahun 1990 telah melengkapkan kehidupan. Tetapi, kini setelah lebih dari lapan tahun bergelar ibu tunggal, segala tanggungjawab membeli, menyediakan makanan untuk bersahur dan berbuka puasa, menunaikan solat terawih di masjid atau surau bersama anak-anak berada dibahu saya sendirian. Kami terus menghadapi kehidupan ini dengan positif dan kami kekal bahagia sehingga kini walau tiada seorang suami dan bapa untuk dijadikan idola.
Kami sekeluarga amat mengalu-alukan Ramadan yang bakal menjelang pada 13 September 2007 ini. Kegembiraan untuk bersahur, berpuasa dan berbuka puasa, mulai dirasa kini.
|